14 April 2009

PESTA SUKAN PASTI KAWASAN PUCHONG ‘KINRARA 2009’

Pesta Sukan PASTI Kawasan Puchong merupakan acara tahunan yang diadakan untuk acara Bola Sepak dan Bola Jaring untuk anak-anak pra-sekolah Pusat Asuhan Tunas Islam PASTI.

Selain merupakan salah satu daripada acara ko-kurikulum dalam takwim tahunan PASTI Kawasan Puchong, ia juga merupakan acara bagi mengasah bakat dan seterusnya memilih pemain terbaik untuk mewakili Kawasan Puchong untuk bertanding di peringkat Negeri dan seterusnya peringkat Pusat.
Berikut adalah butiran maklumat berkenaan pertandingan tersebut:

Tarikh : 18 April 2009 (Sabtu)
Tempat : Padang Awam MPSJ, Bandar Kinrara 4
Masa : 8.00 pagi hingga 1.00 petang


Justeru, bagi pihak PASTI Kawasan Puchong, kami ingin menjemput semua ibu bapa dan penjaga untuk sama-sama menjayakan dan memeriahkan lagi program yang julung-julung kalinya diadakan ini.

Sehubungan dengan program ini juga, bagi menghargai usaha dan komitmen murid-murid dan guru-guru, pihak pengurusan Pasti Kawasan Puchong bebesar hati untuk memberikan cuti peristiwa selama SATU hari kepada semua murid dan guru pada 20 April 2009 (Isnin).

Sekian, Terima Kasih

Yang benar,


MOHD FADZLI KADIR
Pengarah
Pesta Sukan PASTI Kawasan Puchong
“Kinrara 2009”

08 April 2009

Friendly Match - Raihan vs Firdaus

Pasukan Bola Jaring - Merah (Firdaus) Ungu (Raihan)


Pasukan Bola Sepak - Merah (Firdaus) Ungu (Raihan)


Bersempena dengan Pesta Sukan PASTI Kawasan Puchong yang bakal berlangsung tidak berapa lama lagi , Pasti Ar Raihan dan Pasti Firdaus (Puncak Jalil) telah mengadakan satu perlawanan persahabatan pada 5 April 09 Ahad yang lepas.

Perlawanan bola sepak dan bola jaring telah pun berlangsung dalam suasana yang penuh muhibbah. Pelbagai gelagat anak-anak juga boleh disaksikan sepanjang perlawanan baik bola sepak mahupun bola jaring.

Namun yang lebih penting, jurulatih dan guru-guru setiap Pasti dapat menilai sejauh mana persiapan dan latihan yang telah diadakan bagi menghadapi Pesta Sukan PASTI yang gilang gemilang bagi tahun ini.

Keputusan Akhir :

Bola Sepak - Pasti Firdaus membelasah Pasti Raihan 7 gol berbalas 3 gol

Bola Jarig - Pasti Firdaus menewaskan Pasti Raihan 8 - 6

Semoga persediaan dan latihan yang lebih dapat memperbaiki prestasi pasukan masing-masing.




08 March 2009

Majlis Perasmian dan Kutipan Dana Gaza







Alhamdulillah, tanggal 7 Mac 09, satu Majlis Perasmian PASTI Ar Raihan dan program Kutipan Dana untuk Gaza telah diadakan.

Kehadiran daripada ibubapa, para pelajar, masyarakat setempat juga amat-amat menggalakkan.Tidak lupa juga kehadiran daripada saf kepimpinan PASTI Kawasan yang terdiri daripada Cikgu Syed (juga Timb Pengerusi III, PASTI Selangor),Sdr Tengku (PASTI Ainul Mardhiah). Tidak ketinggalan Sdr Yeop dan KP Puchong Ust Wan Shukri juga turut memeriahkan lagi suasana pada malam tersebut.

Majlis Perasmian dan Ceramah Palestin telah disempurnakan oleh, AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad. Dalam bahagian pertama ceramah beliau, Ustaz menerangkan peranan yang dimainkan oleh PASTI dalam melaksanakan tanggungjawab kepada masyarakat untuk melaksanakan agenda tarbiyyah kepada anak-anak pra-sekolah.

Bahagian kedua ceramah beliau lebih berkisar kepada susur galur pertembungan antara Islam dan Yahudi yang dikisahkan sendiri melalui ayat Al Quran dan juga sirah perjuangan Rasulullah.Juga dikisahkan bagaimana kekentalan umat Palestin dalam mempertahankan tanah air dan kedaulatan negara mereka.

Majlis sebelum daripada ceramah itu telajh dimulakan dengan persembahan 10 orang pelajar 6 tahun dengan memperdengarkan 3 buah nasyid.Seterusnya majlis juga ditontonkan dengan tayangan multimedia berkenaan perjuangan Palestin.

Sebelum mengakhiri ceramah beliau, Ustaz Idris Ahmad kemudiannya melancarkan Kutipan Dana yang akan disalurkan kepada Gaza melalui Tabung Gaza Harakah. Alhamdulillah, sumbangan penuh untuk Gaza yang berjaya dikutip pada malam itu berjumlah RM 1,000.

Ustaz kemudian mengetuai bacaan Doa bagi memohon pertolongan dan bantuan daripada Allah Taala dalam memastikan sistem tarbiyyah di sekolah berkenaan berjalan dengan baik dirahmati Allah Taala.

Majlis kemudian diakhiri dengan simbolik, memotong riben sebagai tanda perasmian PASTI Ar Raihan pada tanggal 7 Mac 2009.

26 January 2009

Pasti Ar Raihan telah mula beroperasi

Alhamdulillah,tanggal 5 Jan 09 yang lalu, Pasti Ar Raihan dengan dibantu oleh kekuatan guru seramai 3 orang telah memulakan operasi selaku pusat asuhan ataupun pra sekolah untuk pelajar berumur 4,5 dan 6 tahun.

Pasti Ar Raihan bagaimanapun terpaksa menolak beberapa permohonan daripada ibubapa kerana premis Pasti tidak dapat menampung jumlah pelajar yang terlalu ramai. Syukur, jumlah rasmi pelajar seramai 53 orang kesemuanya setakat ini.Jauh melebihi sasaran awal pihak pengurusan.

Selesai bab pemasaran dan penndaftaran, langkah seterusnya adalah mefokuskan kepada pembelajaran dan kegiatan para pelajar. Pelbagai perancangan aktiviti pelajar dan nilai tambah yang akan dilaksanakan dalam menjamin kualiti insan yang bakal dilahirkan.

Semoga segala usaha yang akan dijalankan mendapat keredhaan ilahi serta sokongan daripada semua.

31 October 2008

Pendaftaran Pelajar Setiap Hari hingga Disember

Kepada ibubapa yang ingin mendaftarkan anak-anak mereka, boleh la terus berbuat demikian seperti butiran berikut :

Hari : Isnin - Jumaat
Tarikh : Bermula 3 November 2008
Tempat : PASTI Ar Raihan, Bandar Kinrara

Segala maklumat, pamphelete , senarai nama pemandu , pembayaran yuran kesemuanya boleh dilakukan dalam masa yang sama.

Ibubapa juga akan dibawa mengunjungi ruang belajar dan bilik darjah serta kemudahan PASTI Ar Raihan.

Jangan lepaskan peluang ini , kerana tempat adalah terhad !

20 October 2008

Rumah Terbuka dan Hari Terbuka PASTI Ar Raihan

Insya Allah , pada 25 Oktober 2008, Sabtu bermula jam 12 pm hingga ke 4 pm akan diadakan Rumah Terbuka PASTI Ar Raihan beserta dengan Cawangan BK Sektor 1 dan 2.

Pada hari tersebut juga, diadakan Hari Terbuka PASTI Ar Raihan di mana ibubapa yang telah menyatakan hasrat mereka untuk menghantar anak mereka ke PASTI Ar Raihan pada sesi bermula Januari 2009 bolehlah membuat lawatan dan juga membuat bayaran pendaftaran.

Sukacita juga dimaklumkan , mewakili Pengurusan PASTI Ar Raihan, kami ingin menjemput mana-mana ibubapa yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang pakej yang ditawarkan oleh pihak PASTI Ar Raihan, agar dapat bersama kami pada Hari Terbuka tersebut.

Semoga kedatangan Tuan/Puan dapat memeriahkan lagi Majlis dan juga dapat memberi informasi tentang PASTI Ar Raihan Bandar Kinrara.

Jemput datang ya !

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails