13 November 2009

Keluaran Awal : Gambar Konvo & Lawatan Zoo Negara

Dilampirkan sedikit daripada gambar-gambar penuh gambar Konvo seluruh pelajar PASTI Raihan dan Gambar Lawatan ke Zoo Negara. Gambar penuh menyusul akan datang








29 October 2009

VISI Pasti

VISI

Melahirkan Insan Soleh di Malaysia melalui pendidikanp pra sekolah sebagai elemen terpenting


MISI

Meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran, pengurusan serta kuantiti PASTI di Malaysia bagi menjadikan PASTI pilihan utama kepada masyarakat yang cintakan pendidikan Islam



MATLAMAT PENUBUHAN PASTI

Matlamat Am

1.Mengembalikan pemafahaman masyarakat umum kepada kepentingannya pendidikan Islam dan meransang kepekaan kebangkitan Islam sejagat.
2.Mengadakan pendidikan awal (pra-sekolah) bagi melahirkan insan yang beriman, berilmu, beramal soleh dan berakhlak mulia.
3.Menyediakan wadah awal pendidikan berorentasikan harakah Islamiah untuk jangka masa panjang.
4.Menjadi pusat untuk membentuk fikrah masyarakat yang sedang mengalami dan menghadapi keruntuhan aqidah dan akhlak akibat dari serangan ideologi sekular dan kebendaan.
5.Menyedarkan masyarakat umum tentang hakikat tarbiyah Islamiyyah beristiqamah dan beriltizam dengan Islam.


Matlamat Khas

1.Menyedar dan meningkatkan kesempurnaan Tauhid agar beramal dengan setiap kebaikan yang diredhai Allah dan RasulNya dan meninggalkan setiap kemungkaran yang dimurkai Allah S.W.T.
2.Membentuk peribadi insan agar mencontohi peribadi mulia Rasulullah s.a.w.
3.Memberi galakkan kepada kanak-kanak secara intensif agar mereka dapat menjiwai fitrah kelahiran manusia dan mengabdikan diri hanya kepada Allah
4.Memberi kesedaran betapa pentingnya bahasa sebagai alat komunikasi dalam kehidupan seharian terutamanya bahasa Al-Quran


OBJEKTIF PENDIDIKAN PASTI

1.Menyediakan proses pendidikan awal yang berorentasikan sistem pendidikan Islam ke arah melahirkan anak yang soleh, berilmu dan beramal.
2.Mendidik jiwa dan akal kanak-kanak dengan didikan Islam bersumberkan ajaran Al-Quran dan Hadis.
3.Membimbing kanak-kanak supaya menghayati ibadah , akhlak dan cenderong melakukan ma’ruf serta meninggalkan mungkar.
4.Melatih kanak-kanak membaca, menghafaz dan menghayati Al-Quran , doa dan zikir.
5.Memberi pengetahuan kepada kanak-kanak asas-asas bahasa, matematik dan komunikasi ke arah kebolehan membaca, mengira, menulis dan menghafal.

19 October 2009

Selamat Maju Jaya Anak-Anak PASTI

Sepanjang minggu ini , 19 Oktober hingga 23 Oktober 2009 , pelajar 5 tahun dan pelajar 6 tahun sedang melalui peperiksaan akhir tahun.

Semoga anak-anak kita tekun dalam menjawab soalan , dan dipermudahkan dalam memahami soalan dan melengkapkan jawapan.

Insya Allah, selepas peperiksaan peringkat cawangan, pelajar no.1 dan no.2 bagi 5 tahun dan 6 tahun akan menduduki peperiksaan setara di peringkat kawasan.

Tujuan peperiksaan setara ini adalah untuk memilih pelajar terbaik di peringkat kawasan yang akan mendapat anugerah berkenaan semasa Hari Kecemerlangan peringkat kawasan pada 15 November nanti.

Peperiksaan setara ini juga bertujuan memastikan kualiti pengajaran dan pembelajaran di PASTI Ar Raihan adalah selaras dan setanding dengan PASTI-PASTI di peringkat kawasan Puchong.

Selamat Maju Jaya !

17 September 2009

Salam Hari Raya Aidil Fitri

Kepada Semua Ummat Islam ,

Pihak Pengurusan,Guru-Guru dan seluruh Warga PASTI Ar Raihan ingin mengucapkan;


SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI
MAAF ZAHIR BATIN

07 September 2009

Jemputan Tahlil dan Iftar Jamaie PASTI Ar Raihan

Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Ar Raihan
No 338, Jalan BK 4/2, Bandar Kinrara 47100 Puchong, Selangor Darul Ehsan


Ruj Kami: PASTI/AR/09-0903
Tarikh : 3 September 2009

Kepada:

Ibu/ Bapa/Penjaga
Pelajar Pasti Ar Raihan

Tuan/Puan,

MAJLIS TAHLIL & BERBUKA PUASA (IFTAR JAMI’E)

Dengan hormatnya kami mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadan Al Mubarak kepada Tuan/Puan sekelian.

Sukacita dimaklumkan Pasti Ar Raihan akan menganjurkan majlis tahlil & berbuka puasa (iftar jami’e) pada tarikh dan masa seperti berikut:

Tarikh : Sabtu, 12 September 2009 (22 Ramadan 1430)
Masa : 6.00 ptg – 8.15 mlm
Tempat : Masjid Al Ehsan , Bandar Kinrara 5

Sehubungan dengan itu, kami menjemput Tuan/Puan dan keluarga untuk hadir pada tarikh dan masa seperti yang dinyatakan di atas untuk sama-sama memeriahkan majlis di bulan Ramadan yang diberkati ini. Pihak Pasti akan menyediakan makanan nasi dan lauk sebagai juadah utama, sekiranya tidak keberatan Tuan/puan digalakkan membawa juadah ringan seperti kueh mueh untuk dikongsi bersama bagi memeriahkan majlis.

Di harap Tuan/Puan dapat memberikan jawapan mengenai kehadiran Tuan/Puan dengan menghantar pesanan teks (sms) ke talian 013 5186 085 dan menyatakan nama anak Tuan/Puan yang belajar di Pasti Ar Raihan dan bilangan ahli keluarga yang akan hadir untuk memudahkan pihak kami membuat persediaan nanti.

Dilampirkan juga bersama surat ini, borang sumbangan tahlil arwah bagi mana-mana ibubapa yang masih berminat untuk turut menyumbang. Insya Allah, tahlil yang akan diadakan semasa majlis berkenaan akan ditujukan kepada senarai arwah yang disenaraikan dalam lampiran berkenaan.

Akhirnya kami ingin mengucapkan berbanyak terima kasih di atas segala kerjasama yang Tuan/Puan berikan demi kejayaan Pasti Ar Raihan, semoga Allah SWT akan memberikan ganjaran yang berganda nanti, insya Allah.

Yang benar,



--------------------------
Mohd Fadzli Kadir
Pengurus PASTI Ar Raihan


MAJLIS TAHLIL & BERBUKA PUASA (IFTAR JAMI’E)


ATUR CARA:

5.50 ptg Kehadiran jemputan
6.00 ptg Persembahan nasyid, sajak, cerita & hafazan oleh pelajar Pasti
6.30 ptg Tahlil
6.45 ptg Tazkirah oleh Ust Omar, Imam 1 Masjid Al Ehsan, Bandar Kinrara
7.00 mlm Persediaan berbuka puasa
7.12 mlm Azan Magrib oleh pelajar Pasti
Berbuka puasa (ringan)
Solat Magrib
Makan nasi
8.15 mlm Majlis bersurai

15 June 2009

PASTI Ar Raihan melangkah berubah




Minggu baru , penggal baru. Para pelajar PASTI Ar Raihan telah pun memulakan pembelajaran untuk penggal sekolah yang baru.

Sepajang dua minggu cuti sekolah ini juga, bangunan PASTI Ar Raihan telah berubah wajah. Alhamdulillah, kerja-kerja ubahsuai telahpun berjaya disiapkan mengikut jadual yang dirancang.

Para pelajar disesi petang sebelum ini, telah pun bertukar semula ke sesi pagi untuk turut serta dengan pelajar yang lain.

Seorang Cikgu baru telah pun juga memulakan tugas.Selain daripada memenuhi keperluan pelajar yang semakin bertambah, Cikgu Hani juga ditugaskan khusus bagi memantapkan pembelajaran Bahasa Inggeris para pelajar. Kita nantikan program-progam daripadanya.

Pembantu guru juga seorang yang baru. Kak Yatie daripada BK6, memulakan tugas yang pertama hari ini.

PASTI Ar Raihan juga telah menerima 3 orang pelajar angkat sebagai memenuhi Tanggungjawab Sosial "Social Responsibility" kepada masyarakat. Pelajar kembar 3 ini merupakan anak yatim yang ketiadaan ayahnya sejak setahun lepas. Berusia lima tahun, 3 pelajar ini bakal bersama-sama pelajar lain dalam memenuhi tuntutan menuntut ilmu.

Mari sama-sama doakan kejayaan anak-anak kita , Tunas Islam di PASTI Ar Raihan.

Allahu Akbar !

04 June 2009

Anugerah PASTI Terbaik ! TAHNIAH !




Malam tadi, semasa majlis perasmian Muktamar Pemuda PAS Pusat, berlangsung acara penyampaian beberapa anugerah.Antara anugerah yang seperti lazim setiap tahun disampaikan adalah Anugerah PASTI terbaik peringkat Pusat.

Sekali lagi,PASTI Negeri Selangor dinobatkan juara di peringkat Pusat bagi tahun 2009. Anugerah ini menunjukkan komitmen beterusan PASTI Negeri Selangor membawa pengurusan organisasi PASTI-PASTI di seluruh kawasan di negeri Selangor ke satu tahap yang lebih baik dari sebelum ini.

Alhamdulillah, sebelum daripada ini, di Muktamar Pemuda PAS Negeri Selangor pada bulan lepas, PASTI Kawasan Puchong juga telah dinotbatkan sebagai PASTI Kawasan terbaik di peringkat Negeri Selangor.

Selaku salah sebuah PASTI di Kawasan Puchong dan di Negeri Selangor,PASTI Ar Raihan amat berbangga dengan kejayaan PASTI Kawasan Puchong dipilih sebagai PASTI terbaik dalam Negeri Selangor dan PASTI terbaik di peringkat Pusat.

Anugerah yang begitu bermakna ini bukanlah sebagai tanda bahawa mana-mana PASTI sudah boleh berpeluk tubuh dan hanya berpuas hati dengan pencapaian yang ada. Anugerah ini datang dengan tanggungjawab agar PASTI-PASTI di Kawasan Puchong khususnya termasuk PASTI Ar Raihan melipatgandakan usaha untuk memberi perkhidmatan dan penyampaian yang terbaik, setanding dengan permintaan daripada masyarakat umum.

Sekali lagi, PASTI Ar Raihan mengucapkan jutaan tahniah kepada PASTI Kawasan Puchong atas Anugerah PASTI Kawasan Terbaik dalam Negeri Selangor dan kepada PASTI Negeri Selangor atas Anugerah PASTI Negeri Terbaik di Peringkat Pusat.

03 June 2009

Pembesaran Bangunan PASTI Ar Raihan

Alhamdulillah, dengan izin dan inayah daripada Allah Taala yang Maha Kuasa, pihak pengurusan PASTI Ar Raihan telah pun secara rasminya mengambil bangunan (rumah) bersebelahan untuk dijadikan bangunan tambahan bagi PASTI Ar Raihan.

Penambahan bangunan ini , setelah difikirkan dan dibincangkan dengan mendalam dalam mesyuarat, maka pihak pengurusan dan pihak cawangan-cawangan bersetuju untuk mengambil bangunan tambahan bagi tujuan :

1) Menampung bilangan pelajar yang semakin bertambah (Alhamdulillah)

2) Menyelaraskan dan menampung sesi persekolahan pelajar disebelah pagi sahaja.

3) Menggunakan pakai tenaga guru tambahan (lantikan guru bahasa Inggeris yang baru)

4) Memberi keselesaan kepada pelajar (semua kelas) didalam bilik darjah yang khusus.

5) Ruang perhimpunan yang lebih luas serta tapak taman permainan mini yang lebih sesuai.

Oleh yang demikian, sekiranya diizinkan oleh Allah, maka bangunan tambahan PASTI Ar Raihan akan boleh mula digunakan bermula buka sekolah terdekat ini,15 Jun 2009.

Namun begitu,untuk tujuan penambahan bangunan diatas, pihak pengurusan amat-amat mengalu-alukan mana-mana pihak , para dermawan yang sudi menyumbang untuk tabung bangunan tersebut.

Kepada sesiapa yang berminat untuk menyumbang (wang tunai), harap dapat terus hubungi Pengurus PASTI di talian 013-3999 452 (Fadzli) ataupun Bendahari PASTI ditalian (013-3915626)

Segala sumbangan tuan/puan pihak kami dahulukan dengan ucapan terima kasih.

Doakan sama-sama agar Bangunan Tambahan bagi PASTI Ar Raihan akan dapat menyediakan kemudahan bagi pelajar PASTI dengan lebih baik.

Selamat Bercuti Pelajar PASTI Ar Raihan

Bermula 30 Mei hingga 14 Jun, para pelajar di seluruh Malaysia akan bercuti sempenan cuti pertengahan tahun. Tidak ketinggalan, pelajar PASTI Ar Raihan juga turut sama bercuti sepanjang dua minggu berkenaan.

Semoga cuti sekolah ini digunakan sepenuhnya dengan diisi aktiviti-aktiviti yang bermanfaat.Isi masa kalian dengan mendampingi ibubapa dan sekali sekala jenguklah kembali buku-buku untuk bekalan masa panjang.

Kita jumpa lagi selepas buka semula sesi persekolahan pada 15 Jun 2009.

SELAMAT BERCUTI !!!

14 April 2009

PESTA SUKAN PASTI KAWASAN PUCHONG ‘KINRARA 2009’

Pesta Sukan PASTI Kawasan Puchong merupakan acara tahunan yang diadakan untuk acara Bola Sepak dan Bola Jaring untuk anak-anak pra-sekolah Pusat Asuhan Tunas Islam PASTI.

Selain merupakan salah satu daripada acara ko-kurikulum dalam takwim tahunan PASTI Kawasan Puchong, ia juga merupakan acara bagi mengasah bakat dan seterusnya memilih pemain terbaik untuk mewakili Kawasan Puchong untuk bertanding di peringkat Negeri dan seterusnya peringkat Pusat.
Berikut adalah butiran maklumat berkenaan pertandingan tersebut:

Tarikh : 18 April 2009 (Sabtu)
Tempat : Padang Awam MPSJ, Bandar Kinrara 4
Masa : 8.00 pagi hingga 1.00 petang


Justeru, bagi pihak PASTI Kawasan Puchong, kami ingin menjemput semua ibu bapa dan penjaga untuk sama-sama menjayakan dan memeriahkan lagi program yang julung-julung kalinya diadakan ini.

Sehubungan dengan program ini juga, bagi menghargai usaha dan komitmen murid-murid dan guru-guru, pihak pengurusan Pasti Kawasan Puchong bebesar hati untuk memberikan cuti peristiwa selama SATU hari kepada semua murid dan guru pada 20 April 2009 (Isnin).

Sekian, Terima Kasih

Yang benar,


MOHD FADZLI KADIR
Pengarah
Pesta Sukan PASTI Kawasan Puchong
“Kinrara 2009”

08 April 2009

Friendly Match - Raihan vs Firdaus

Pasukan Bola Jaring - Merah (Firdaus) Ungu (Raihan)


Pasukan Bola Sepak - Merah (Firdaus) Ungu (Raihan)


Bersempena dengan Pesta Sukan PASTI Kawasan Puchong yang bakal berlangsung tidak berapa lama lagi , Pasti Ar Raihan dan Pasti Firdaus (Puncak Jalil) telah mengadakan satu perlawanan persahabatan pada 5 April 09 Ahad yang lepas.

Perlawanan bola sepak dan bola jaring telah pun berlangsung dalam suasana yang penuh muhibbah. Pelbagai gelagat anak-anak juga boleh disaksikan sepanjang perlawanan baik bola sepak mahupun bola jaring.

Namun yang lebih penting, jurulatih dan guru-guru setiap Pasti dapat menilai sejauh mana persiapan dan latihan yang telah diadakan bagi menghadapi Pesta Sukan PASTI yang gilang gemilang bagi tahun ini.

Keputusan Akhir :

Bola Sepak - Pasti Firdaus membelasah Pasti Raihan 7 gol berbalas 3 gol

Bola Jarig - Pasti Firdaus menewaskan Pasti Raihan 8 - 6

Semoga persediaan dan latihan yang lebih dapat memperbaiki prestasi pasukan masing-masing.




08 March 2009

Majlis Perasmian dan Kutipan Dana Gaza







Alhamdulillah, tanggal 7 Mac 09, satu Majlis Perasmian PASTI Ar Raihan dan program Kutipan Dana untuk Gaza telah diadakan.

Kehadiran daripada ibubapa, para pelajar, masyarakat setempat juga amat-amat menggalakkan.Tidak lupa juga kehadiran daripada saf kepimpinan PASTI Kawasan yang terdiri daripada Cikgu Syed (juga Timb Pengerusi III, PASTI Selangor),Sdr Tengku (PASTI Ainul Mardhiah). Tidak ketinggalan Sdr Yeop dan KP Puchong Ust Wan Shukri juga turut memeriahkan lagi suasana pada malam tersebut.

Majlis Perasmian dan Ceramah Palestin telah disempurnakan oleh, AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad. Dalam bahagian pertama ceramah beliau, Ustaz menerangkan peranan yang dimainkan oleh PASTI dalam melaksanakan tanggungjawab kepada masyarakat untuk melaksanakan agenda tarbiyyah kepada anak-anak pra-sekolah.

Bahagian kedua ceramah beliau lebih berkisar kepada susur galur pertembungan antara Islam dan Yahudi yang dikisahkan sendiri melalui ayat Al Quran dan juga sirah perjuangan Rasulullah.Juga dikisahkan bagaimana kekentalan umat Palestin dalam mempertahankan tanah air dan kedaulatan negara mereka.

Majlis sebelum daripada ceramah itu telajh dimulakan dengan persembahan 10 orang pelajar 6 tahun dengan memperdengarkan 3 buah nasyid.Seterusnya majlis juga ditontonkan dengan tayangan multimedia berkenaan perjuangan Palestin.

Sebelum mengakhiri ceramah beliau, Ustaz Idris Ahmad kemudiannya melancarkan Kutipan Dana yang akan disalurkan kepada Gaza melalui Tabung Gaza Harakah. Alhamdulillah, sumbangan penuh untuk Gaza yang berjaya dikutip pada malam itu berjumlah RM 1,000.

Ustaz kemudian mengetuai bacaan Doa bagi memohon pertolongan dan bantuan daripada Allah Taala dalam memastikan sistem tarbiyyah di sekolah berkenaan berjalan dengan baik dirahmati Allah Taala.

Majlis kemudian diakhiri dengan simbolik, memotong riben sebagai tanda perasmian PASTI Ar Raihan pada tanggal 7 Mac 2009.

26 January 2009

Pasti Ar Raihan telah mula beroperasi

Alhamdulillah,tanggal 5 Jan 09 yang lalu, Pasti Ar Raihan dengan dibantu oleh kekuatan guru seramai 3 orang telah memulakan operasi selaku pusat asuhan ataupun pra sekolah untuk pelajar berumur 4,5 dan 6 tahun.

Pasti Ar Raihan bagaimanapun terpaksa menolak beberapa permohonan daripada ibubapa kerana premis Pasti tidak dapat menampung jumlah pelajar yang terlalu ramai. Syukur, jumlah rasmi pelajar seramai 53 orang kesemuanya setakat ini.Jauh melebihi sasaran awal pihak pengurusan.

Selesai bab pemasaran dan penndaftaran, langkah seterusnya adalah mefokuskan kepada pembelajaran dan kegiatan para pelajar. Pelbagai perancangan aktiviti pelajar dan nilai tambah yang akan dilaksanakan dalam menjamin kualiti insan yang bakal dilahirkan.

Semoga segala usaha yang akan dijalankan mendapat keredhaan ilahi serta sokongan daripada semua.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails