31 October 2008

Pendaftaran Pelajar Setiap Hari hingga Disember

Kepada ibubapa yang ingin mendaftarkan anak-anak mereka, boleh la terus berbuat demikian seperti butiran berikut :

Hari : Isnin - Jumaat
Tarikh : Bermula 3 November 2008
Tempat : PASTI Ar Raihan, Bandar Kinrara

Segala maklumat, pamphelete , senarai nama pemandu , pembayaran yuran kesemuanya boleh dilakukan dalam masa yang sama.

Ibubapa juga akan dibawa mengunjungi ruang belajar dan bilik darjah serta kemudahan PASTI Ar Raihan.

Jangan lepaskan peluang ini , kerana tempat adalah terhad !

20 October 2008

Rumah Terbuka dan Hari Terbuka PASTI Ar Raihan

Insya Allah , pada 25 Oktober 2008, Sabtu bermula jam 12 pm hingga ke 4 pm akan diadakan Rumah Terbuka PASTI Ar Raihan beserta dengan Cawangan BK Sektor 1 dan 2.

Pada hari tersebut juga, diadakan Hari Terbuka PASTI Ar Raihan di mana ibubapa yang telah menyatakan hasrat mereka untuk menghantar anak mereka ke PASTI Ar Raihan pada sesi bermula Januari 2009 bolehlah membuat lawatan dan juga membuat bayaran pendaftaran.

Sukacita juga dimaklumkan , mewakili Pengurusan PASTI Ar Raihan, kami ingin menjemput mana-mana ibubapa yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang pakej yang ditawarkan oleh pihak PASTI Ar Raihan, agar dapat bersama kami pada Hari Terbuka tersebut.

Semoga kedatangan Tuan/Puan dapat memeriahkan lagi Majlis dan juga dapat memberi informasi tentang PASTI Ar Raihan Bandar Kinrara.

Jemput datang ya !

18 September 2008

Salam Ramadhan, Salam Syawal

Salam, kepada pengunjung blog ini, tidak terlambat lagi rasanya untuk diucapkan Salam Ramadhan, kerana kita baru saja memasuki fasa kedua bulan ramadhan, fasa dimana 10 malam terakhir ramadhan akan menjelang.

Semoga bulan ramadhan ini yang dipenuhi dengan keberkatan mendapat tempias kepada setiap daripada diri kita.

Salam Syawal juga in advance kepada semua, takut tak sempat untuk buat posting sekali lagi.

Untuk pengetahuan, dalam bulan Ramadhan, kerja-kerja Pasti Ar Raihan masih giat dijalankan. Premis PASTI sedang dalam proses untuk di cat. Perbelanjaannya agak besar juga. Promosi masih giat dijalankan terutama mengambil kesempatan di mana solat tarawikh dipenuhi dengan ratusan penduduk tempatan.

Alhamdulillah, Pasti Ar Raihan telah mempunyai guru yang confirm seramai 2 orang. Seorang lagi dalam proses penilaian, namun sesiapa yang berminat untuk mengisi kekosongan tersebut amat dialu alukan.

Tempahan phamphelete sedang diaturkan dan juga banner pendaftaran sedang dicetak. Insya Allah selepas raya akan siap digantung dan disebarkan.

PASTI juga telah melancarkan pungutan derma bagi Dana PASTI Ar Raihan berbentuk kupon bernilai RM 10. Boleh hubungi pengurus ataupun setiausaha untuk mendapatkan kupon tersebut.

Terakhir, insya Allah bertarikh 25 Oktober akan datang, PASTI Raihan akan menganjurkan satu rumah terbuka bersekali dengan Hari Terbuka untuk pendaftaran para pelajar. Insya Allah, yuran pendaftaran beserta dengan duit buku serta baju boleh lah dibuat semasa hari pendaftaran dan Open House PASTI AR RAIHAN pada tarikh tersebut.

21 August 2008

Kaunter Informasi dan Pendaftaran PASTI Ar Raihan pada 23 Ogos 2008

Salam.

Bersempena dengan Karnival Rakyat yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat Dun Sri Serdang (PKMDSS) pada 23 Ogos 2008 bertempat di Bandar Kinrara 4 (depan Surau Ukasyah), satu kaunter khas , kaunter informasi dan pendaftaran bagi pelajar untuk kemasukkan sessi 2009 akan dibuka.

Insya Allah, segala pertanyaan dan maklumat tentang PASTI Ar Raihan akan dijawab pada hari berkenaan selain dari tujuan mempromosikan PASTI yang bakal dibuka tidak lama lagi.

Oleh itu, kepada yang berminat, sila lah kunjungi kaunter PASTI Ar Raihan yang akan di buka dari jam 9 pagi ke 11 malam , 23 Ogos 2008 bersempena dengan Karnival Rakyat anjuran PKMDSS.

Jumpa di sana !

21 July 2008

PASTI AR RAIHAN : KEMASUKAN SESSI 2009

Salam.

Alhamdulillah, beberapa individu telah pun bertanyakan tentang kemasukan para pelajar PASTI untuk sessi 2009 nanti.

Insya Allah, dalam perancangan, PASTI AR RAIHAN di Bandar Kinrara akan dibuka kepada para pelajar yang berumur 4 tahun , 5 tahun dan 6 tahun.

Segala maklumat terperinci berkaitan dengan kemasukan pelajar seperti yuran bulanan, yuran pendaftaran, bayaran buku dan lain-lain akan di kemaskini dalam posting akan datang Insya Allah.

Sekali lagi , kami membuka kepada mana-mana ibu baba yang berminat untuk mendaftar, boleh la terus menghubungi Sdr Fadzli (Pengurus) di talian 013-3999 452 atau Hj Nasir (Setiausaha) di talian 013-3359 069

Terima kasih dan wassalam

14 July 2008

Status penubuhan PASTI Ar-Raihan di Bandar Kinrara

Assalamualaikum,

Ramai yang mungkin bertanya, apakah status gerak kerja penubuhan PASTI Ar-Raihan di Bandar Kinrara ini.

Untuk makluman semua, kami dalam proses untuk mengutamakan beberapa perkara yang penting untuk didahulukan. Antaranya :

1) Proses pendaftaran PASTI Ar-Raihan

PASTI merupakan satu entiti di bawah Dewan Pemuda PAS. Justeru, segala urusan pendaftaran hendaklah dilakukan menerusi Pemuda Kawasan dan kemudian kepada PASTI di peringkat Pemuda Negeri. Insya Allah, pendaftaran akan dilakukan secepat mungkin agar sijil bagi PASTI ini dapat diadakan untuk tujuan Pendaftaran para pelajar dan juga urusan pembukaan akaun bank untuk PASTI ini sendiri.

2) Promosi PASTI Ar-Raihan

Untuk peringkat awal, jawatankuasa telah bersetuju untuk menaikkan banner di beberapa tempat stategik di sekitar Bandar Kinrara untuk menghebahkan tentang penubuhan PASTI di Bandar Kinrara. Ia adalah satu hebahan umum (massa) dan ia tentunya akan diikuti dengan promosi yang lebih terperinci dengan sasaran yang lebih khusus.

Usaha untuk mengemaskini maklumat berkaitan penubuhan PASTI Ar-Raihan di dalam blog ini juga merupakan satu langkah untuk mempromosi PASTI kepada penduduk sekitar.

3) Premis operasi PASTI Ar-Raihan

Sudah tentu, orang ramai yang pernah lalu di jalan BK 4/2 telah pun ternampak sebuah rumah dengan banner " Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) akan di buka pada sessi 2009". Itu lah rumah bernombor 338, Jalan BK 4/2 yang akan dijadikan Bangunan PASTI Ar-Raihan.

Pihak jawatankuasa dalam usaha merancang untuk menceriakan premis berkenaan sesuai dengan fungsinya bakal menjadi pusat asuhan bagi bakal pejuang agama Allah.

4) Tinjaun Pasaran

Antara perkara penting bagi kejayaan penubuhan PASTI ini tentunya terletak kepada kesesuaian harga yuran yang ditetapkan untuk setiap pelajar. Satu kajian pasaran akan dilakukan terhadap premis-premis tadika yang telah lama dibuka di kawasan sekitar terutama di BK 4, BK 5 , BK 6 dan BK 2.

Perlu diingatkan sekali lagi bahawa, PASTI ini bukan merupakan satu entiti perniagaan. Justeru, kami akan berusaha memastikan agar yuran yang akan dikenakan di tahap paling minima tetapi dapat menampung kos operasi harian agar dapat memastikan kesinambungan PASTI ini.

5) Pencarian Guru PASTI

Antara cabaran bagi mana-mana institusi pusat asuhan/tadika adalah untuk mencari tenaga pengajar yang berkebolehan. Ini merupakan antara keutamaan pihak pengurusan dalam memastikan kualiti pendidikan yang disampaikan mencapai standard dan piawaian yang ditetapkan.

Justeru itu, kami masih lagi membuka ruang ini, untuk mana-mana individu yang berminat untuk menjadi Guru PASTI Ar-Raihan yang juga untuk bersama-sama kami dalam memastikan satu lagi usaha kearah menyediakan generasi muslim muslimah ini berjaya dunia akhirat, boleh la menghubungi pihak kami pada bila-bila masa.

6) Dana dan kewangan

Akhirnya, yang tidak kurang pentingnya adalah dana awal untuk menggerakkan operasi awal dan juga pembelian peralatan pembelajaran (kerusi meja). Sekali lagi disebabkan PASTI ini bukanlah sebuah entiti perniagaan, maka segala kos operasi awalan ini memang sepenuhnya bergantung kepada sumbangan orang ramai.

Justeru itu, kepada mana-mana individu yang berminat untuk menginfakkan sedikit kewangan dalam memastikan penubuhan PASTI ini dapat dijalankan dengan jayanya, boleh la terus menghubungi kami.


Untuk menghubungi jawatankuasa Pengurusan PASTI Ar-Raihan, boleh lah terus email kepada :

pastikinrara@gmail.com

atau terus hubungi :

Pengurus PASTI Ar-Raihan - Mohd Fadzli ditalian 013-3999 452

atau

Setiausaha PASTI Ar-Raihan - Hj Nasir ditalian 013-3359069


Sekian , wassalam.

30 June 2008

PASTI Ar-Raihan di Bandar Kinrara

Assalamualaikum ,

Para pengunjung yang budiman,

Sukacita dimaklumkan bahawa sebuah Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) akan ditubuhkan tidak lama lagi. Ia dijadualkan akan mula beroperasi pada sesi pengajian bermula Januari 2009.

PASTI merupakan sebuah entiti di bawah penyeliaan Dewan Pemuda PAS. Ia diwujudkan bagi memenuhi tanggungjawab memberi pengisian pendidikan Islam kepada anak-anak kita terutama diwaktu pra-persekolahan. Pepatah Melayu ada mengatakan, " Kalau hendak melentur buluh, biarlah dari rebungnya"

PASTI bukan merupakan nama baru dalam bidang pendidikan pra-sekolah. PASTI mempunyai silibus pengajian yang seragam untuk seluruh negara. Begitu juga dengan buku-buku rujukan, sistem peperiksaan dan latihan guru yang sistematik dan terancang selaras untuk seluruh negara.

PASTI telah beroperasi di kebanyakan taman-taman perumahan,kampung-kampung,seksyen-seksyen selaras dengan permintaan daripada penduduk yang sememangnya menantikan satu entiti pendidikan teras Islam yang mampu memberi asas-asas Islamiyah kepada anak-anak peringkat pra-sekolah.

Atas dasar kesedaran dan permintaan tinggi dari ibu bapalah, maka PASTI Ar-Raihan akan diwujudkan di Bandar Kinrara tidak lama lagi. Penubuhannya adalah hasil gabungan daripada dua cawangan iaitu Cawangan Sektor 1&2 serta Cawangan 4&5.

Insya Allah, maklumat-maklumat lanjut berkaitan dengan PASTI Ar-Raihan di Bandar Kinrara ini akan diberitahu pada posting yang akan datang.

Dalam masa yang sama, pihak jawatankuasa juga turut mengalu-alukan segala sumbangan daripada mana-mana pihak bagi menjayakan penubuhan PASTI ini. Semoga segala jasa baik tuan/puan akan dirahmati oleh Allah Taala.

Segala sumbangan dan cadangan , boleh lah terus menghubungi kami di alamat email pastikinrara@gmail.com.

Wassalam

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails